Wednesday, November 18, 2009
Lagi pertemuan dalam terang telah diadakan antara pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dengan pimpinan Umno.
Dan inilah juga yang dikatakan politik. Dalam politik tidak ada kawan yang kekal dan tiada siapa yang menjadi musuh selamanya. Menjadi ahli politik yang jujur dalam memperjuangkan falsafah perjuangan demi kehendak majoriti rakyat, adakalanya dapat mempertemukan dua titik yang sebelum ini renggang seolah olah bermusuh. Begitulah sebaliknya.
Aku bukan pengkagum Anwar, hanya pendokong gagasan Ketuanan Rakyat yang gah diperjuangkan PR. Namun, kematangan DS Anwar dalam menggerakkan sesuatu isu memang tidak dinafikan. Tindakan pro-aktifnya bakal menggerakkan massa bagi mengatasi isu hangat pertelingkahan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan negeri Kelantan berkenaan isu royalti minyak ini.
Kali ini pertemuan terang benderang itu diketuai oleh Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim dengan disertai oleh Ahli Parlimen Machang dari PKR Saifuddin Nasution, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian-PAS) dan Tian Chua (Batu-PKR). Pertemuan itu diadakan dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah semalam di bangunan Parlimen kira-kira 30 minit.
Cadangan yang dikemukakan PR supaya Ku Li mempengerusikan satu kaukus mengenai pertikaian wang royalti minyak membabitkan kerajaan persekutuan dan Kelantan dikira satu cadangan yang tepat. Ku Li anak raja Kelantan, pernah terlibat dalam "urusan minyak" sejak penubuhan Petronas serta terlibat secara langsung dalam menggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 bersama Tun Salleh Abas.
Dari segi politiknya, Umno khususnya BN pasti terpinga pinga sekiranya persefahaman antara pimpinan PR dengan Ku Li dicapai. Walaupun masih jauh dari harapan, penyertaan Ku Li sebagai pengerusi kaukus royalti minyak Kelantan ini diharap dapat membentuk satu suasana politik negara yang lebih selesa. Sama samalah kita berdoa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment